Skip to main content

Majlis Berbuka Puasa & Kangeikai MSAJ Wilayah Kansai: Sinergi Kesatuan di Bumi Sakura

'Ariqah Sarah
13 April 2024

Osaka, Jepun -  Ahad lepas, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Wilayah Kansai telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Kangeikai (majlis menyambut pelajar baharu) bertempat di Osaka.  Majlis ini merupakan program julung-julung kalinya diadakan oleh MSAJ Wilayah Kansai dengan kolaborasi bersama-sama IMAN Jepun setelah sekian lama aktiviti di peringkat wilayah terhenti akibat COVID-19. 

Lebih kurang 60 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan komuniti Malaysia yang berada di Jepun  telah memeriahkan majlis ini. Bermula sekitar 5 petang, majlis membuka tirai dengan sesi ‘ice- breaking’  sebagai wadah perkenalan  antara para peserta untuk membuat jaringan baharu serta mengeratkan lagi silaturahim sesama kenalan. 

Majlis diteruskan dengan sesi pengenalan MSAJ yang disampaikan oleh Presiden MSAJ, Muhamad Firdaus bin Ali untuk memberi pendedahan kepada para peserta terutamanya kepada pelajar yang baru tiba ke Jepun berkenaan struktur keseluruhan organisasi serta perancangan tahunan yang akan dijalankan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ). Menerusi ucapan Muhamad Firdaus, beliau menyeru para peserta untuk   memanfaatkan platform MSAJ melalui penyertaan sebagai ahli mahupun sebagai peserta untuk program-program yang dianjurkan oleh MSAJ sebagai medium untuk membentuk modal insan  yang holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Beliau juga menyatakan harapan agar MSAJ dapat menjadi jambatan bagi pelajar Malaysia di Jepun untuk mengatasi sebarang cabaran akademik, sosial, dan keagamaan yang dihadapi, sekaligus memperkaya pengalaman mereka di Jepun. 

Puan Wan Syazana binti Wan Zailani, Ketua JK Hal Ehwal Mahasiswa dan Belia IMAN Jepun turut menyampaikan pengenalan pertubuhan IMAN Jepun kepada para peserta dengan berkongsi latar belakang penubuhan IMAN Jepun juga aktivit-aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu. Beliau menekankan pertubuhan IMAN Jepun bukan sahaja mengfokuskan pembangunan kerohanian malah turut bergiat aktif dalam pembangunan  jasmani dan intelektual menerusi program-program yang dilaksanakan seperti Momiji Explorace dan Tarbiah in Fuyu. Beliau juga mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan program Golden Week Gathering yang akan dijalankan pada 3-5 Mei di Pulau Awaji, Kobe.

Apabila azan Maghrib berkumandang, majlis berbuka puasa dimulakan dengan hidangan ringan seperti kurma dan kuih- muih sebelum mendirikan solat maghrib secara berjemaah dan diteruskan pula dengan hidangan utama. Menu berbuka puasa yang terdiri daripada variasi juadah Malaysia termasuklah nasi kerabu, laksam, kuetiau, kek batik, kuih-muih tradisional dan sebagainya memberi kesempatan kepada pelajar dan komuniti Malaysia di Jepun untuk merasakan kembali kehangatan dan keakraban suasana Ramadan seperti di tanah air. 

Majlis turut diisi dengan perkongsian tazkirah yang disampaikan oleh saudara Izzat yang berkongsi tentang malam lailatul qadr dan solat tarawih secara berjemaah yang diketuai oleh barisan pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun. Keseluruhan acara ini tidak hanya berfungsi sebagai platform untuk menyambut pelajar baru dan memperkukuh jaringan sosial antara  para pelajar dan komuniti Malaysia di Jepun, tetapi juga sebagai medium untuk memperkenalkan dan mengintegrasikan mereka dengan kehidupan berkomuniti di Jepun, melalui kolaborasi antara MSAJ Wilayah Kansai dan IMAN Jepun. Juga, majlis ini turut menjadi batu loncatan bagi pelaksanaan program-program di wilayah Kansai. 

Last modified on 19 May 2024 11:34 AM

Latest Articles

13 April 2024

Majlis Berbuka Puasa & Kangeikai MSAJ Wilayah Kansai: Sinergi Kesatuan di Bumi Sakura

Osaka, Jepun -  Ahad lepas, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Wilayah Kansai telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Kangeikai (majlis menyambut pelajar baharu) bertempat di ...
19 May 2024

Program Yuuchin 2024: Membina Jaringan Pelajar Malaysia di Jepun dan Korea

YuuChin, berasal daripada perkataan Jepun ‘Yuujin’ dan perkataan Korea ‘Chingu’, yang kedua-duanya diterjemahkan kepada 'rakan' dalam bahasa Inggeris. Program YuuChin adalah inisiatif rakan pena pe...
24 April 2024

Pertemuan Wakil MSAJ bersama YAB Menteri Besar Perak

OSAKA, 23 April - Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) menyambut baik usaha mempromosi Perak sebagai destinasi perlancongan kepada pemain industri perlancongan di Jepun. MSAJ diwa...