Budaya al-Fatihah dan tasbih kifarah dalam majlis
Saya ingin berkongsi budaya yang menjadi kelaziman dalam MSAJ, untuk memulakan apa-apa pertemuan dengan bacaan al-Fatihah dan mengakhirinya dengan tasbih kifarah.
Menyedari bahawa manusia mempunyai peranan to serve the highest being (Tuhan) dalam kehidupan, kita memulakan pertemuan kita dengan bacaan al-Fatihah dengan pengharapan agar segala urusan yang dijalankan sepanjang pertemuan berkenaan dianugerahkan rahmat dan keberkatan oleh Allah swt.
Dalam al-Fatihah ada 7 rangkap yang kita sentiasa lazimi tatkala menunaikan solat.
Di setiap rangkap, ada pengakuan dan permohonan yang perlu kita maknai dalam kehidupan seharian kita.
Apabila kita mulakan dengan lafaz basmalah yang membawa makna - dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kita mengharapkan agar usaha-usaha yang kita buat, diiringi keagungan dari Allah swt.
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Kemudian pada rangkap kedua, kita zahirkan puji-pujian kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam. Kita tahu, apa-apa organisasi atau entiti yang kita khidmati, adalah platform supaya usaha kerja yang kita buat, ada sumbangannya kepada kemanusiaan, supaya kelak dilihat dan dinilai oleh Tuhan.
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dalam rangkap ketiga, kita mengulangi kembali nama Tuhan, iaitu ar-Rahman dan ar-Rahim. Sebagaimana Allah bersifat pengasih dan penyayang pada hambaNya, kita perlu internalize sifat demikian dalam usaha-usaha yang dibuat, semampunya dalam upaya kita.
مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ
Di rangkap keempat, kita imani bahawa terdapat hari di mana manusia akan dikumpulkan di hadapan Penciptanya, untuk dinilai setiap perbuatan yang di buat di atas muka bumi.
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Bila berhadapan dengan pelbagai stakeholders, keadaan yang rencam dan pelbagai, krisis dalam apa-apa aktiviti yang di buat, kita tahu, selain usaha-usaha sampingan yang kita buat (risk assessment, negotiation, crisis mitigation dan sebagainya), tonggaknya adalah pada pengabdian diri pada Tuhan, dan memohon pertolongan kepadaNya. Insan sangat lemah, tetapi dengan kekuatan daripada Allah swt, tidak ada yang mustahil.
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ
Kerencaman, kepelbagaian karakter individu yang kita santuni dan situasi yang kita hadapi sepanjang berkhidmat dalam organisasi pasti kadangkala menyukarkan kita membuat sesetengah keputusan. Tetapi, kita pohon kepada Tuhan, supaya lorongkan kita pada jalan yang lurus. Dalam pilihan-pilihan yang ada, kita harapkan supaya kita buat keputusan yang terbaik, yang memberi manfaat kepada semua.
صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ
Dalam ayat ketujuh ini, ada 3 golongan. Yang diberi nikmat, yang Tuhan murkai dan yang sesat. Kita pohon supaya keputusan-keputusan yang kita buat, melayakkan kita menjadi golongan pertama yang diberikan kenikmatan berpanjangan, di dunia mahupun di akhirat. Nikmat datang dalam pelbagai bentuk. Kehalusan bicara, ketajaman akal, sifat kreatif dalam menyelesaikan masalah merupakan nikmat, yang kita harapkan Allah swt anugerahkan sepanjang pertemuan-pertemuan yang kita jalankan.
Secara tak langsung, kita telah meletakkan satu framework (kerangka) untuk memandu urusan kita sepanjang pertemuan.
Kita tahu, ada sisi yang kita naif. Ada sisi yang kita kurang peka, disebabkan oleh ketidaksempurnaan kita sebagai insan.
Namun, kita harapkan Allah swt memenuhkan apa yang kurang, memberikan nikmat kepada kita dalam bentuk output yang baik & sempurna melewati urusan-urusan kita.
Usai perbincangan tentang agenda-agenda yang digariskan, menjadi kelaziman untuk kita mengakhiri pertemuan dengan tasbih kifarah dan surah al-Asr.
Bila kita baca tasbih kifarah, kita mengakui kedaifan insan dengan menzahirkan bahawa hanya Allah swt sahaja yang layak diberikan puji-pujian.
Kemudian, kita mohon pada Allah swt agar mengampuni kekurangan-kekurangan yang ada daripada kita.
Manakala surah al-Asr pula membawa kita pada kesedaran bahawa kita, insan, sentiasa dalam keadaan rugi - kecuali apabila kita berpesan-pesan pada kebaikan, dan berpesan-pesan pada kesabaran.
Ada sebuah hadith yang ingin saya bawakan ke perhatian semua:
Nabi ﷺ bersabda, "Siapa yang duduk dalam satu pertemuan yang dipenuhi cakap-cakap yang kurang bermanfaat dan berdoa sebelum bangun: 'Subhanaka Allahumma wa bihamdika, ash-hadu an la ilaha illa Anta, astaghfiruka wa atubu ilaika', dia akan diampuni (untuk dosa yang dibuat secara sedar atau tidak sedar) dalam pertemuan itu.
https://sunnah.com/riyadussalihin:831
Mudah-mudahan praktik ini dijadikan kelaziman secara berterusan - dan paling penting, kita sedar makna di sebalik setiap perkara yang kita buat. Bukan ikut-ikutan, tetapi dengan niat dan keinginan yang jelas agar kelak urusan-urusan kita dalam berorganisasi melalui platform MSAJ ini membuahkan kebaikan yang berpanjangan. Insya-Allah.