"Pada akhir November 2024, telah datang kepada kami soalan daripada pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jepun menceritakan perihal jadual pembelajaran termasuk pada hari Jumaat dan waktu yang menyebabkan kesukaran untuk melaksanakan ibadat solat.
Justeru, terdapat beberapa pertanyaan dikemukakan kepada kami untuk kemudahan mereka dalam melaksanakan urusan agama terutamanya dalam ibadat solat. Ini merupakan kemelut dan polemik yang berlaku di negara matahari terbit berkenaan, dengan sistem penjadualan di sebahagian universiti mereka. Justeru, timbul persoalan mengenai isu solat dalam situasi kelas bertindih dengan waktu solat khususnya apabila waktu solat adalah singkat. Maka jamak tamam difikirkan sebagai salah satu alternatif yang mungkin dapat menyelesaikan konflik waktu ini. Memahami situasi setempat dan kesukaran yang dihadapi bagi merealisasikan pelaksanaan ibadah solat dengan sempurna, maka amat penting untuk digambarkan dengan baik keadaan mereka agar natijah terbaik dapat diputuskan." (Petikan dari ms 4-5, Maktabah al-Bakri)