MSAJ Raya Open House : Lemang Berbara di Tohoku, Ketupat Terjalin di Kansai
TOHOKU & OSAKA, 19-20 April - Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) dengan kerjasama Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL), Kedutaan Besar Malaysia Tokyo serta pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Rumah Terbuka Raya di dua wilayah utama, iaitu Tohoku dan Kansai.
Penganjuran ini bertujuan menyediakan platform kepada warga Malaysia, khususnya para pelajar yang menetap di Jepun, untuk meraikan Hari Raya dalam suasana penuh kemeriahan. Selain itu, program ini turut menjadi medium untuk memperkenalkan peranan dan kewujudan MSAJ kepada komuniti pelajar di kedua-dua wilayah tersebut.
Rumah Terbuka Raya bagi wilayah Tohoku telah berlangsung dengan jayanya di Jozenji Hills, Sendai, dengan kehadiran seramai 68 orang pelajar Malaysia dari wilayah Tohoku, Kanto, dan Hokuriku.
Program ini dianjurkan oleh MSAJ dengan kerjasama PPL, yang diwakili oleh Encik Imran Yusof dan Puan Yang, selaku penasihat dan kolaborator utama. Penganjuran ini turut disokong oleh ahli MSAJ yang diketuai oleh 'Awatif Marha dan Najwa Allya, bersama 17 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada ahli aktif MSAJ serta sukarelawan dari Sendai dan Akita.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Muhammad Haziq Daniel, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden MSAJ, Anas Saidi, serta ucapan daripada wakil PPL, En Imran Yusof.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan bagi memeriahkan sambutan, termasuk pertandingan "Teka Lagu Raya" dan "Teka Kuih Raya", persembahan nyanyian oleh En Nasaii Masngut, serta sesi open-mic yang memberi ruang kepada para hadirin untuk turut serta. Jamuan juadah Hari Raya turut disediakan bagi meraikan para tetamu.
Kemeriahan rumah terbuka ini turut dipertingkatkan dengan sesi cabutan bertuah, di mana para pemenang berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah yang lumayan seperti hamper yang menarik.
Timbalan Presiden MSAJ, 'Awatif Marha, menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka Raya Tohoku sebagai satu kejayaan, meskipun merupakan program bersemuka pertama MSAJ yang dijalankan di wilayah baharu, iaitu Sendai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, sukarelawan, penasihat daripada PPL, serta rakan-rakan yang hadir atas komitmen dan bantuan mereka, meskipun berdepan dengan cabaran tempoh persiapan yang singkat dan kebanyakan ahli jawatankuasa adalah pertama kali menguruskan acara seumpama ini.
Dalam harapannya, 'Awatif Marha menyatakan bahawa program ini, yang dijalankan dengan kerjasama PPL, diharap dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak penganjuran program MSAJ di pelbagai wilayah di Jepun pada masa akan datang.
Rumah Terbuka Kansai diadakan pada hari berikutnya bertempat di Rental Space 8 Hachi, Osaka. Program ini merupakan hasil kerjasama antara ahli MSAJ wilayah Kansai yang diketuai oleh Annies Syakirah dan Izzat Haiqal, bersama pelajar UUM yang diketuai oleh Sharweswaraan Kumaraval.
Rumah Terbuka ini menerima kehadiran seramai 23 wakil daripada UUM dan 76 warga Malaysia yang menetap di sekitar wilayah Kansai.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Wilayah Kansai, Annies Syakirah, diikuti oleh penasihat pelajar UUM, Encik Syazani Marzuki. Pelbagai juadah enak telah disediakan untuk para tetamu, di samping aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan sepanjang program berlangsung.
Acara kemuncak program menyajikan persembahan tarian oleh wakil pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), yang mempersembahkan pelbagai jenis tarian berlatarkan lagu-lagu tradisional daripada pelbagai kaum utama di Malaysia, termasuk pertunjukan silat. Persembahan ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya tanah air, malah menyerlahkan semangat perpaduan yang diraikan dalam suasana Aidilfitri.
Para peserta dari UUM turut tampil anggun dalam busana tradisional masing-masing, menyerikan lagi persembahan yang penuh warna dan makna ini.
Sebagai tanda penghargaan, majlis diakhiri dengan penyampaian plak oleh wakil MSAJ Kansai, Izzat Haiqal kepada pelajar dan penasihat UUM atas kerjasama erat sepanjang penganjuran program ini.
MSAJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran Rumah Terbuka Raya di perantauan ini. Kehadiran para tetamu amat dihargai dan memeriahkan suasana sambutan, menjadikan majlis rumah terbuka ini satu kejayaan yang dihargai bersama.
- Hits: 134