Kerjasama MSAJ dan UPM melalui Program Kakehashi: Japan Cultural Exchange

OSAKA, 29 September - Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Wilayah Kansai telah menerima rombongan lawatan pelajar-pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Osaka. Lawatan ini bersempena dengan program Kakehashi: Japan Cultural Exchange anjuran Kelab Foodnatic UPM yang diadakan selama lebih kurang dua minggu. Program tersebut telah disertai oleh 22 orang peserta dari UPM dan 8 orang peserta dari MSAJ sebagai rakan kolaboratif.
Pada pagi hari kejadian, MSAJ berpeluang memperkenalkan latar belakang organisasi kepada pelajar UPM yang hadir. Program kemudian diteruskan dengan aktiviti santai seperti 'ice-breaking' dan bersiar-siar di sekitar bandar Osaka. Kedua-dua aktiviti telah dilaksanakan dalam kumpulan-kumpulan kecil yang mencampurkan ahli-ahli MSAJ dengan peserta-peserta dari UPM. Hal ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menyediakan peluang untuk saling berkongsi pandangan, terutamanya tentang perbezaan budaya masyarakat Jepun dan Malaysia serta nilai-nilai baik yang wajar dicontohi dan diterapkan di Malaysia.
Pada sebelah petang, para peserta menjamah selera di restoran Zerohachi Yakiniku dan Asian Diner 585, sebelum bersurai pada jam 8 malam. Pihak MSAJ juga telah berbesar hati menerima hadiah cenderahati daripada peserta Kakehashi sebagai penutup program. Harapannya, program seperti ini dapat membuka ruang untuk lebih banyak kerjasama antara MSAJ dengan pelajar-pelajar institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Diharapkan juga agar peserta Kakehashi dapat memperoleh nilai tambah serta kenangan yang manis sepanjang lawatan mereka di Jepun.