Skip to main content

Majlis Berbuka Puasa & Kangeikai MSAJ Wilayah Kansai: Sinergi Kesatuan di Bumi Sakura

'Ariqah Sarah
13 April 2024

OSAKA, 31 Mac - Ahad lepas, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Wilayah Kansai telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Kangeikai (majlis menyambut pelajar baharu) yang bertempat di Osaka. Majlis ini merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan oleh MSAJ Wilayah Kansai dengan kerjasama IMAN Jepun setelah sekian lama aktiviti di peringkat wilayah terhenti akibat COVID-19. 

Lebih kurang 60 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan komuniti Malaysia di Jepun telah memeriahkan majlis ini. Bermula sekitar jam 5 petang, majlis membuka tirai dengan sesi ‘ice-breaking’ sebagai wadah perkenalan antara para peserta, membuat jaringan baharu serta mengeratkan lagi silaturahim sesama kenalan. 

Majlis diteruskan dengan sesi pengenalan tentang MSAJ yang disampaikan oleh Presiden MSAJ, Muhamad Firdaus bin Ali untuk memberi pendedahan kepada para peserta terutamanya kepada pelajar yang baru tiba ke Jepun. Sesi ini secara umumnya berkenaan struktur keseluruhan organisasi serta perancangan tahunan yang akan dijalankan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ). Menerusi ucapan Muhamad Firdaus, beliau menyeru para peserta untuk memanfaatkan platform MSAJ melalui penyertaan sebagai ahli aktif mahupun sebagai peserta program-program yang dianjurkan oleh MSAJ, agar dapat dijadikan medium untuk membentuk modal insan yang holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Beliau juga menyatakan harapan agar MSAJ dapat menjadi jambatan bagi pelajar Malaysia di Jepun untuk mengatasi sebarang cabaran akademik, sosial, dan keagamaan yang dihadapi, sekaligus memperkaya pengalaman mereka di Jepun. 

Puan Wan Syazana binti Wan Zailani, Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Mahasiswa dan Belia IMAN Jepun turut menyampaikan pengenalan tentang pertubuhan IMAN Jepun kepada para peserta. Beliau berkongsi mengenai latar belakang penubuhan IMAN Jepun serta aktivit-aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun yang lalu, sambil menekankan bahawa pertubuhan IMAN Jepun bukan sahaja memfokuskan pada pembangunan kerohanian, malah turut bergiat aktif dalam pembangunan jasmani dan intelektual menerusi program seperti Momiji Explorace dan Tarbiah in Fuyu. Beliau juga mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan program Golden Week Gathering yang bakal dijalankan pada 3-5 Mei di Pulau Awaji, Hyogo.

Tatkala azan Maghrib berkumandang, majlis berbuka puasa dimulakan dengan hidangan ringan seperti kurma dan kuih-muih sebelum mendirikan solat maghrib secara berjemaah, kemudian diteruskan pula dengan hidangan utama. Menu berbuka puasa yang terdiri daripada variasi juadah Malaysia termasuklah nasi kerabu, laksam, kuetiau, kek batik, kuih-muih tradisional dan sebagainya memberi kesempatan kepada pelajar dan komuniti Malaysia di Jepun untuk merasakan kembali kehangatan dan keakraban suasana Ramadan seperti di tanah air. Majlis turut diisi dengan perkongsian tazkirah yang disampaikan oleh saudara Izzat Haiqal bertemakan malam lailatul qadr, serta solat tarawih secara berjemaah yang diketuai oleh barisan pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun.

Keseluruhan acara ini tidak hanya berperanan sebagai platform untuk menyambut pelajar baru serta memperkukuh jaringan sosial antara pelajar dan komuniti Malaysia di Jepun, tetapi juga sebagai medium untuk memperkenalkan dan mengintegrasikan mereka dengan kehidupan berkomuniti di Jepun, terutamanya melalui kerjasama antara MSAJ Wilayah Kansai dan IMAN Jepun. Majlis ini telah berjaya menjadi batu loncatan bagi pelaksanaan program-program di wilayah Kansai yang diharapkan dapat berterusan pada masa akan datang.

Last modified on 28 December 2024 11:28 AM

Latest Articles

12 September 2024

West Japan Natsu Gathering: Wadah Persaudaraan Pelajar Malaysia di Barat Jepun

HIROSHIMA, 14 Julai - Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Wilayah Khas Kansai telah berjaya mengendalikan program West Japan Natsu Gathering pada 14 Julai yang lalu. Program yang...
21 January 2025

Hari Sukan Malaysia 2024: Simfoni Perpaduan dan Semangat Kesukanan

NAGOYA, 4 Januari - Hari Sukan Malaysia 2024 yang berlangsung di Paloma Mizuho Park, Nagoya, berjaya dianjurkan dengan penuh meriah dan semangat perpaduan. Acara ini merupakan hasil kerjasama antar...
23 December 2024

Lawatan Kerajaan Negari Selangor ke Osaka

OSAKA, 7 Oktober - Isnin lalu, delegasi Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Yang Berhormat (Y.B.) Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Kerajaan Negeri Selangor, me...